Friday, July 30, 2010

Memelihara kejernihan hati

…..hubungan hamba dan Pencipta melalui solat dilakukan tanpa mengira di mana kita berada kerana hanya dengan mengingati-Nya hati jadi tenteram

Pada masa kini ketenangan dan kedamaian hati sukar dicapai dan didapati. Banyak faktor menyebabkan ketenangan dan kedamaian terganggu, antaranya cabaran hidup, hutang dan tidak jujur dalam kehidupan serta tidak amanah.

Hati yang baik dan jujur adalah lebih baik daripada segala-galanya. Orang yang melukai hati orang lain, akan melukai hatinya sendiri. Begitulah kata-kata hikmah yang banyak memberikan tafsiran dalam hubungan kehidupan manusia yang membabitkan perasaan dan fikiran.

Allah s.w.t memberi peringatan dalam firman-Nya yang bermaksud, “Dan Kami turunkan al-Quran sebagai suatu penawar dan rahmat bagi orang yang beriman.” (Al-Isra:82) . Sesungguhnya kitab suci al-Quran mengandungi hikmah, menjadi penawar atau ubat untuk pelbagai penyakit hati dan jiwa bagi orang beriman.

Al-Quran menjadi penyembuh segala penyakit yang dialami manusia sama ada penyakit zahir dan batin, ada penyakit rohani dan jasmani. Di samping itu, al-Quran memimpin manusia agar menjaga kesihatan, memelihara kehormatan diri dan menjauhi segala perkara yang haram.

Perasaan tidak tenteram didalam hati selalu menganggu kehidupan seseorang. Perasaan ini adalah penyakit batin yang juga boleh menganggu kehidupan seseorang. Perasaan ini adalah penyakit batin yang juga boleh menganggu diri iaitu badan yang mengakibatkan seluruh jasad tidak dapat menumpukan kehidupan sebenarnya.

Kajian ahli psikologi mendapati remaja yang terbabit dengan penyakit batin adalah disebabkan kurang pendidikan agama dan mudah terpengaruh dengan persekitaran seperti terjebak dengan gejala sosial seperti lari dari rumah, mengamalkan gaya hidup bebas, keruntuhan akhlak dan hanyut dalam kehidupan.

Hal ini bertetapan dengan pandangan Martin Luther yang menyatakan, “Hati manusia seperti sebuah perahu yang terumbang-ambing ditengah samudera, ribut mempermainkan dan menghempasnya ke segala jurusan.

Oleh itu peliharalah hati kita supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang godaan dan dihinggapi penyakit seperti sombong, dengki, angkuh, riak, tidak berperikemanusiaan, gelisah, murung dan sebagainya. Jangan membiasakan diri berhutang. Kalau terpaksa berhutang, berniatlah membayar secepat mungkin. Selain itu, elakkan daripada riba, curi, tipu dan khianat yang boleh mematikan hati.

Ahli falsafah Immanuel Kant pernah berkata, “Hati nurani bagaikan ‘suara Tuhan’ yang diletakkan dalam kalbu setiap insan.” Sementara itu, bagi orang dewasa penyakit hati yang selalu menganggu adalah seperti tidak tenteram, bersikap kasar, gelisah, sepi, bimbang, cemas, gundah dan rawan.

Ingatlah, perkataan lemah lembut itu akan dapat melembutkan hati nurani yang lebih keras daripada batu dan perkataan kasar akan mengasari hati yang lebih halus daripada sutera. Latihlah hati supaya sentiasa bertaubat, qana’ah, zuhud, tawakkal, ikhlas dan sentiasa menjaga lidah dengan kata-kata yang baik. Renunglah keindahan alam ciptaan Tuhan seperti pantai atau taman.

Dalam hal ini, lima jenis ubat hati dijelaskan Syaiku Zaenudin bin Ali al-Mi’bari al-Malibari, “Ubat hati ketika dalam keadaan keras yang dapat membantu ada lima, iaitu membaca al-Quran dengan hati yang khusyuk merenungi makna, mengosongkan perut menahan lapar dan dahaga, bangun malam beribadah mata celik berjaga, tadharru’ bermunajat memanjatkan doa dan bergaul bersama orang yang soleh yang mulia.”

Terdapat banyak sebab yang menjadikan hati lurus yang kelurusannya menyebabkan seluruh anggota badan lurus. Dalam sebuah hadis, Rasullulah s.a.w menjelaskan yang bermaksud, “Sesungguhnya dalam jasad ada segumpal daging. Jika dia lurus maka jasad seluruhnya akan lurus dan jika dia rosak, maka jasad seluruhnya akan rosak. Ingatlah ia adalah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Pandangan ini diperkuatkan Imam Al-Ghazali yang mengatakan, “Tujuan memperbaiki akhlak untuk membersihkan hati dan kalbu daripada kotoran hawa nafsu dan menjadikan sifat amanah hingga ia jernih bagaikan cermin yang dapat menerima cahaya Tuhan.”

Hidupkanlah hati dengan ilmu pengetahuan, berzikir, berdoa dan berselawat. Hati nurani adalah secara abadi daripada kebenaran dan keadilan. Ia bagaikan cermin yang tidak pernah membohongi apa yang terselindung di hati dan jiwa. Hamka pernah berkata, “Orang paling pandai bermuka-muka di dunia ini adalah orang yang paling busuk hatinya.”

Allah memberi peringatan kepada manusia dalam firman-Nya yang bermaksud, “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya datang kepada kamu pengajaran daripada Tuhanmu dan penyembuh bagi apa-apa yang ada di dalam dada (hati) dan menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang beriman.”

Oleh itu, bagi mencari dan menjadikan hati sentiasa jernih kembalilah kepada fitrah, berilah kegembiraan dan jadikan kemurahan hati sebagai amanah. Jangan sesekali melukai hati orang lain kerana ia boleh melukai hati sendir

1 comment:

  1. maklumat dikongsi bersama.. ihsan dari email sahabat. renung renungkan..dan selamat beramal..

    ReplyDelete